Perbezaan Marjerin vs Mentega & Fungsinya Dalam Pembuatan Kek & Biskut

Marjerin dan mentega adalah dua bahan penting yang selalu digunakan dalam masakan. Tidak kira sama ada untuk menyediakan kek, biskut mahupun lauk pauk, kedua-duanya mempunyai peranan penting dalam menyedapkan sesuatu masakan.  Jika dilihat secara sekali imbas, mentega dan marjerin kelihatan sama. Namun kedua-duanya sebenarnya mempunyai perbezaan.

MARJERIN

Diperbuat daripada lemak sayuran dan dicampur dengan bahan-bahan lain.

Tekstur lebih keras berbanding mentega dan tidak mudah cair.

Berwarna kuning terang.

Boleh dibiarkan agak lama pada suhu bilik tanpa merubah teksturnya.

Mengandungi kurang vitamin berbanding mentega.

Marjerin boleh disimpan diluar tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Biasanya digunakan dalam pembuatan sos, masakan bertumis dan sebagainya.

MENTEGA

Diperbuat daripada lemak haiwan iaitu lemak susu.

Berwarna lebih pucat berbanding marjerin.

Dari segi tekstur, mentega lebih mudah lembut dan cair pada suhu bilik.

Mempunyai kandungan vitamin yang lebih tinggi seperti Vitamin A, E, K yang tidak larut dalam air.

Cara penyimpanannya adalah perlu disimpan di dalam peti sejuk.

Mempunyai aroma yang lebih harum dan enak berbanding marjerin.

Sesuai digunakan untuk memasak makanan barat, menumis sup pekat, membuat kek, biskut, pastri dan sebagainya.

TIP GUNA MARJERIN DAN MENTEGA DALAM PEMBUATAN KEK DAN BISKUT DARI PAKAR

Bila dah tahu kandungan serta fungsinya, pasti anda tertanya-tanya, bahan manakah yang paling sesuai digunakan dalam penghasilan kek dan biskut. Ini penjelasan dari Puan Tengku Ariza, pemilik riezthelicious; pakar dalam pembuatan aneka kek, biskut dan pastri.

KEGUNAAN

Ramai yang tertanya tanya, bila masa kita nak gunakan mentega? Bila pulak nak gunakan majerin? Bila pula kena guna mentega campur dengan majerin?

Ok senang je, kalau nak buat biskut atau kuih yang teksturnya kering dan garing tetapi lembut, gunakan mentega. Selain teksturnya lebih bagus, aromanya pun lebih harum. Kalau tak percaya cuba sapukan roti dengan mentega dan satu lagi dengan marjerin. Anda makan dan nilailah sendiri mana yang lebih sedap dan wangi.

Kalau dalam suhu bilik, mentega mudah mencair sedangkan marjerin tetap stabil. Jadi anda sendiri boleh agak kenapa biskut yang dibuat berasaskan mentega lebih lembut berbanding menggunakan marjerin.

Lain pula cerita kalau anda nak buat kek, memang Kak Riez galakkan untuk guna mentega berbanding marjerin. Ia akan meyumbang kepada tekstur, rasa dan appearance kek tersebut. Kalau nak buat kek dan tetap nak guna marjerin, tambahkan sedikit cake emulsifier agar hasil kek lebih cantik.

TIPS DARI KAK RIEZ:

Semasa menggunakan marjerin untuk menumis atau membuat kuih kering , jangan tambah garam kerana rasa marjerin tu sendiri dah masin .

Mentega sangat mudah tengik , jadi perhatikan dengan teliti tarikh tamat tempoh yang dinyatakan pada bungkusan.

Simpan mentega atau marjerin dalam tempat sejuk dan tidak terkena matahari secara langsung.

Untuk membuat kek yang bertekstur sempurna , campurkan mentega dan marjerin dengan perbandingan 1:1 . Hasilnya, kek akan lebih enak, harum, dan lembut.

INFO: Puan Tengku Ariza adalah pengasas dan pemilik Riezthelicious yang merupakan sebuah kafe yang beroperasi di Kota Bharu Kelantan. Tengku Ariza juga pakar dalam penghasilan pelbagai jenis kek, biskut serta manisan dan terkenal dengan produk Kek Buah yang enak.

Kredit info: riezthelicious