Kedai Mamak & Semua Restoran Terbuka Bebas Asap Rokok Mulai Disember 2018

Alhamdulillah, berita baik buat ibu ayah serta masyarakat yang cukup ‘alergik’ dengan asap rokok. Akhirnya semua restoran terbuka termasuklah kedai mamak akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok mulai Disember ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye dalam sidang Dewan Negara semalam berkata:

“Pewartaan ini adalah komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia juga merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.”

Menurut laporan Utusan Malaysia, langkah ini merupakan inisia­tif Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memperluaskan lagi kawasan larangan mero­kok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

DENDA RM10,000 ATAU PENJARA BAGI YANG DEGIL

Dengan penguatkuasaan ini, diharapkan semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjadikan Malaysia bebas asap rokok. Kalau sebelum ini kita hanya mampu menjeling dan mengharapkan keprihatinan pihak yang merokok. Dahlah kita bawa anak-anak kecil, akhirnya kita yang mengalah dan cari tempat duduk lain. Tapi kini kita sudah boleh menyuarakan bantahan atau melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Menurut Dr. Lee Boon Chye lagi, sekiranya peraturan ini tidak dipatuhi, mereka yang bersalah boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun.
bahaya asap rokok
JOM SOKONG INISIATIF BEBAS ASAP ROKOK

Di samping itu, kita sebagai orang awam juga seharusnya lebih peka dengan kawasan merokok yang telah diwartakan setakat ini sebagai langkah melindungi hak masing-masing. Yalah, kalau setakat geram dan luahkan rasa tak puas di media sosial saja tak ke manalah, kan? Sedangkan kerajaan telahpun mewartakan banyak tempat awam sebagai tempat bebas asap rokok.

Setakat ini di bawah Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017, terdapat 23 tempat yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok termasuk pusat hiburan, teater (kecuali pub, disko, kelab malam dan kasino), dalam lif atau tandas awam, tempat makan berhawa di­ngin, dalam kenderaan awam atau hentian awam, lapangan terbang, kawasan premis kerajaan dan kawasan yang digunakan untuk apa-apa aktiviti perhimpunan.

Jadi, jom sokong inisiatif bebas asap rokok ini!