Kakitangan HSBC tuntut hak!

KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 kakitangan HSBC Bank Malaysia Bhd (HSBC) menyertai piket bagi mendesak syarikat perbankan itu menghentikan pelanggaran hak asasi terutama membabitkan pekerja berpendapatan rendah.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon, berkata HSBC gagal menjalankan operasinya selaras dengan prosedur perbankan mengikut peraturan perbankan, pekerjaan dan amalan etika Standard Buruh Antarabangsa yang minimum.

Katanya, syarikat perbankan asing terbesar dan beroperasi sejak 1994 itu juga gagal membayar gaji dan manfaat kepada pekerja sasaran, sebaliknya membayar sejumlah gaji besar kepada pengurusan tertinggi termasuk faedah dan manfaat yang dianggap tidak sepatutnya diberikan.

“Perjanjian Kolektif (CA) yang tamat pada 2016 juga masih gagal ditandatangani memandangkan rundingan tidak berjalan dengan lancar dan banyak isu yang tidak dipersetujui oleh pihak syarikat.

“Sebanyak sembilan isu pertikaian yang hingga kini gagal untuk mencapai persetujuan dan tindakan syarikat dilihat seperti perbuatan tidak berperikemanusiaan kepada pekerja yang dedikasi menjalankan tugas mereka.

“Antaranya ialah menolak perlindungan perubatan hingga memaksa pekerja membayar ubat-ubatan tertentu, mengurangkan faedah pemeriksaan kesihatan berumur 45 tahun ke atas daripada dua kali setahun kepada sekali untuk dua tahun,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Piket Harapan itu berlangsung selama dua jam bertujuan mendesak pihak syarikat tidak menindas hak asasi manusia.

Lebih 1,000 kakitangan HSBC adalah ahli NUBE.

Solomon, berkata HSBC juga enggan memberi kenaikan gaji tahunan kepada pekerja yang sudah mencapai had maksimum tanpa mengira sumbangan dan produktiviti, yang akhirnya menjejaskan gaji menjelang usia persaraan.

“HSBC juga sedang berusaha menafikan pekerja daripada diberi bonus prestasi dengan meminda artikel berkaitan CA daripada perkataan ‘berhak’ kepada ‘layak’ dan ini adalah suatu yang tidak adil dan menindas hak mereka.

“Pertikaian berkenaan memberi tekanan kepada pekerja dan ada sebahagiannya turut diugut diambil tindakan jika tidak mengikut peraturan. Ini menyebabkan ada pekerja tertekan dan berhenti kerja dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil,” katanya.

Katanya, apa yang dilakukan oleh HSBC di sini sama seperti yang berlaku di Filipina dan Colombia, justeru NUBE meminta supaya pihak bank menghormati tanggungjawab sosial korporat dalam memenuhi piawaian urus tadbir.

“Kami yakin ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan dalam menggalakkan dan meningkatkan amalan terbaik dari segi kebajikan pekerja institusi kewangan.

“NUBE bersikap muhasabah dalam tuntutannya, namun jika tidak dapat diselesaikan, kami tidak teragak-agak untuk melancarkan piket di seluruh negara,” katanya.

Antara isu lain dibangkitkan NUBE ialah pakaian seragam ditarik balik dan menetapkan pakaian sesuai untuk ke pejabat, mengubah jawatan bagi menafikan hak di dalam CA, memaksa pekerja melanggar dasar bank pusat dan pembukaan akaun serta keadaan tempat kerja yang tidak bersih.