Dato Lee Chong Wei Disahkan Menderita kanser hidung peringkat awal

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Peminat badminton tanah air hari ini dikejutkan apabila tular di media sosial bahawa jaguh No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei dikatakan menghidap kanser hidung tahap tiga.

Menurut mesej tersebut, pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu dikatakan mendapatkan rawatan di Taiwan kerana masalah pernafasan, sebelum doktor kemudian mengesahkan dia menghidap penyakit tersebut.

Usaha Utusan Online menghubungi Chong Wei bagi mendapatkan kepastian mengenai perkara itu bagaimanapun gagal, manakala Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Semalam, Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai memberitahu, Chong Wei akan pulang ke tanah air dalam tempoh dua minggu lagi selepas menjalani rawatan di luar negara kerana mengalami masalah pernafasan.

Chin Chai, yang tidak mendedahkan lokasi di mana Chong Wei berada bagaimanapun hanya berkata, proses rawatan pemain berusia 36 tahun itu berjalan baik selepas berkesempatan melawatnya baru-baru ini.

“Rawatannya dijangka selesai minggu depan. Seperti semua tahu, Chong Wei menjalani rawatan di luar negara dan dijangka pulang dalam tempoh dua minggu lagi.

“Dia masih perlu berehat selama sebulan sebaik kembali dan selepas itu doktor akan memantau serta memaklumkan sama ada dia boleh bermain semula,” kata Chin Chai semalam.

Masalah pernafasan yang dialami Chong Wei menyebabkan dia terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing serta Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu. – UTUSAN ONLINE

Chong Wei pulang 2 minggu lagi

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Apa penyakit sebenar dihidapi Lee Chong Wei? Perkara itu kembali diperkatakan apabila jaguh badminton negara itu dijangka kembali ke tanah air dalam tempoh dua minggu lagi selepas selesai mendapatkan rawatan di luar negara.

Setakat ini tiada mana-mana pihak mahu mengesahkan apa penyakit sebenar anak kelahiran Pulau Pinang itu sehingga menyebabkan pelbagai spekulasi timbul. Ia termasuklah dakwaan pemain tersebut menghidapi kanser dan masalah saraf.

Apa yang diberi­tahu setakat ini adalah pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu mengalami masalah berkaitan pernafasan, yang menyebabkan dia terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing serta Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu.

Setiausaha Kehormat Persa­tuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai yang ditemui hari ini berkata, beliau sempat melawat Chong Wei di tempat dia menjalani rawatan namun enggan mendedahkan lokasinya apatah lagi mengesahkan desas-desus bahawa pemain itu menjalani rawatan di Taiwan.

Chin Chai cuma memberitahu pemain No.1 negara itu berada dalam ke­­adaan baik ketika ini.

“Semua tahu bahawa Chong Wei sedang mendapatkan rawatan di luar negara dan dia dijangka menamatkan rawatannya dalam tempoh seminggu lagi sebelum pulang ke ibu negara seminggu selepas itu.

“Difahamkan, Chong Wei akan berehat selama sebulan dahulu dan mengikut segala nasihat dokor sebelum kembali menjalani latihan semula,” katanya selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini.

Sebelum itu, pelbagai spekulasi mengenai dirinya timbul apabila dia tidak menghadiri sesi latihan selama beberapa hari sebelum BAM mengeluarkan ke­nyataan bahawa pemain itu sedang mendapatkan rawatan di luar negara berhubung masalah kesihatan yang dialaminya.

Sumber: Utusan

Update: Empat akhbar lain mengesahkannya:

1. https://www.nst.com.my/sports/badminton/2018/09/413778/update-lee-chong-wei-has-cancer-ba-malaysia

2. https://www.worldofbuzz.com/viral-rumor-about-datuk-lcw-having-stage-3-nose-cancer-circulates-on-facebook/

3. https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/09/22/bam-chong-wei-nose-cancer/

4. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/chong-wei-hidap-barah-hidung-peringkat-awal-kini-menerima-rawatan-bam-186294

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan jaguh negara Datuk Lee Chong Wei telah didiagnosis dengan barah hidung peringkat awal.

Perkara itu disahkan oleh Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria dalam satu kenyataan ringkas.

“Sebagai maklum balas terhadap laporan berkaitan Datuk Lee Chong Wei, BAM mengesahkan pemain itu telah didiagnosis menghidap barah hidung peringkat awal.

“Chong Wei kini mendapatkan rawatan di Taiwan dan memberi maklum balas baik terhadap rawatannya. Beliau kini sedang berehat untuk pulih di samping keluarga dan rakan terdekat.

Tambah Norza, bagi pihak Chong Wei, beliau berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas doa dan rasa peduli.

“Sokongan anda adalah sumber kekuatan dan ketabahannya,” kata Norza yang menyeru semua pihak menghormati privasi Chong Wei dan keluarganya.

BAM sentiasa mendapatkan perkembangan mutakhir tentang Chong Wei dan sedia menawarkan sebarang sokongan kepada legenda badminton negara itu.

Semoga Jaguh Sukan Badminton Negara Kita Cepat Sembuh