Ramai Beratur Sampai Nak Masuk Pintu Depan Pun Susah Di ST Rosyam Mart Sebab Ayam RM0.88sen Seekor Tetapi Ramai Yang Tidak Tahu Yang Sebelum Beli Kena Buat Ini

Jualan murah yang ditawarkan ini untuk barangan tertentu dan mengikut hari tertentu. Bagi nak mendapatkan harga belian semacam itu, peminat perlu memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak pengurusan pasaraya ST Rosyam Mart.

Seperti yang dikongsikan Datuk Rosyam sendiri di dalam instagramnya, “Sale ini akan berlangsung dari 15 hingga 23 haribulan September 2018.”

Syarat Sebelum Beli Ayam
“Nak dapatkan ayam harga RM0.88 sen itu, pelanggan perlu datang pada 15hb dan 19hb. Datang pagi-pagi, daftar dan isi borang untuk dapatkan kad ahli percuma.”

“Saya akan berada di sini hari Sabtu ini dari pagi sampai ke malam. Sesiapa yang nak beli buku saya dan yang nak bergambar pun boleh.” Kongsi usahawan ini yang bersedia melayan para peminatnya.
Kena Ada Kad Ahli Untuk Beli Ayam Murah

Jelas Datuk Rosyam lagi, pelanggan yang belum mempunyai kad ahli ST Rosyam Mart. Mereka boleh mendaftar secara percuma dari 15hb hingga 20hb September 2018 ini.

Selepas itu, barulah pelanggan boleh membuat belian barangan pada harga sale yang ditawarkan seperti yang disenaraikan dalam katalog pasaraya berkenaan.

Tambah beliau, setiap barangan yang dijual murah telah ditetapkan hari jualannya. Jadi pelanggan tak perlu berebut. Malah memudahkan mereka merancang jadual shopping masing-masing.

“Jangan esok semua rushing-rushing. Sale barang kita ikut hari.” tuturnya yang turut berdebar sama menerima kehadiran pelanggannya pada esok hari.

Pendaftaran kad ahli secara percuma itu akan bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Jangan lupa bawa kad pengenalan kerana ia diperlukan semasa proses pendaftaran.

Yang menariknya, pasaraya Rosyam Mart di Setiawangsa, Kuala Lumpur ini dibuka 24 jam kepada para pelanggannya. Selain jualan ayam murah, Rosyam juga tawarkan belian mi dan kuetiau pada harga RM0.18 sen. Serta barangan lainnya pada harga diskaun.

Kenapa menceburi bidang pasaraya?

Pengalaman bekerja selama lima tahun di kedai runcit, membuka mata penerbit dan pelakon Datuk Rosyam Nor, 51, mengenai potensi perniagaan ini.

Berkongsi suka duka sebelum mampu membuka pasar raya ST Rosyam Mart, Rosyam memberitahu, antara cabaran utama yang dihadapinya ialah meyakinkan pihak bank untuk memberi pinjaman.

Umpama Impian Tercapai

“Saya pernah bekerja sebagai pembantu kedai runcit ketika berumur 13 tahun, selama lima tahun itu banyak yang saya lihat antaranya kedai runcit merupakan keperluan masyarakat dalam mendapatkan sumber makanan.

“Antara cabaran untuk membuka ST Rosyam Mart adalah untuk mendapatkan pinjaman bank sebab perniagaan ini memerlukan modal yang besar,” katanya.

Jelas Rosyam atau nama sebenarnya, Mohd Nor Shamsuddin, dia juga turut menanam impian perniagaannya itu dibantu rakyat tempatan sahaja.

Cabaran Rosyam Nor

Bagaimanapun, harapan itu diakuinya agak sukar. “Selain itu harapan utama saya sewaktu membuka pasar raya ini juga adalah untuk mendapatkan 100 peratus pekerja tempatan.

“Bagaimanapun, baru saya tahu perkara itu mustahil sebab tidak mudah, memandangkan saya memerlukan 400 pekerja dalam menggerakkan pasar raya ini selama 24 jam sehari,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan ST Rosyam Mart di Setiawangsa tadi.

Cukup terkejut dengan sambutan yang diberikan, Rosyan tidak teragak-agak untuk memberitahu ketika ini juga dia sedang merancang membuka tiga lagi cawangan ST Rosyam Mart.

“Saya sudah menetapkan tiga lokasi lain, antaranya di Shah Alam, Bangi dan Melaka.

“Mengapa saya memilih tiga lokasi ini adalah kerana kepadatan orang Melayu di kawasan itu. Saya yakin itu adalah lokasi yang strategik untuk ST Rosyam Mart,” katanya panjang lebar.

Selama 36 tahun bergelar sebagai anak seni, ternyata kejayaan dalam bidang peruncitan tidak akan menyebabkan dia lupa akan karier lakonannya.

“Saya tidak akan berhenti berlakon, sebab itu adalah permulaan untuk saya dalam mendapatkan semua ini. Cuma buat masa ini saya akan hadkan sahaja.

“Dalam masa yang saya juga sudah menyiapkan tiga filem dan sedang berbincang untuk satu lagi filem yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi,” katanya. – Utusan Online