Remaja ini tanpa segan memandikan dan menggosokkan badan gelandangan ini

PETALING JAYA: Tindakan memandikan gelandangan di belakang sebuah restoran makanan segera bukan untuk mencari populariti, kata Muhammad Muaz Azim Jalil.

Remaja lepasan SPM yang lebih mesra disapa Muaz ini memberitahu mStar Online, seorang lelaki yang sudah berumur hidup sebagai gelandangan dan sudah lama berada di kawasan bangunan kedai tempat dia bekerja di Taman Tasik Permaisuri, Cheras.

Malah katanya, pakcik itu memang sudah dikenali oleh mereka yang bekerja atau sering berkunjung ke situ.

“Semalam (Isnin) ketika waktu rehat tak tahu nak buat apa, saya panggil pakcik tu dan beri makanan. Dalam masa sama saya dapat lihat badannya yang kotor.

“Saya tanya terus pakcik tu sama ada nak mandi ke tak? Dia terus jawab ‘tak nak’. Tetapi selepas pujuk dan pujuk, saya terus bawanya ke belakang restoran.

“Beberapa kawan lain juga turut membantu membuka pakaiannya.

“Saya terus mandikan dia, gosok belakang, buang kotoran di kaki dan seluruh badannya,” kata anak keenam daripada tujuh orang adik-beradik ini.

Muaz, 18, berkata sudah setahun lebih dia bekerja di restoran makanan segera itu dan melihat lelaki berkenaan tidur, makan dan berehat di kawasan itu telah menjadi satu pemandangan biasa.

“Saya kesian tengok dia. Walaupun tidak kenal, tetapi selalu saya tolong beri makanan dan minuman. Ada juga orang lain yang beri makanan kepadanya.

“Selepas siap mandi semua, saya hubungi ayah di rumah, minta baju, seluar dan selipar untuk diberikan kepada pakcik ini,” katanya.

Muaz berkata, ketika bertemu dengannya hari ini, lelaki itu kelihatan masih dalam keadaan bersih.

“Cuma baju dia simpan dalam poket sebab panas katanya. Dia juga beritahu selipar yang saya berikan semalam sudah kena curi,” jelas Muaz.

Sementara itu, Muaz memberitahu dia tidak sedar bahawa rakaman sedang dibuat ketika dia sedang memandikan pakcik berkenaan.

“Pengurus saya yang rakam. Selepas selesai mandikan pakcik tu, dia tunjuk pada saya.

“Manakala yang memuat naik di laman Twitter adalah rakan sekerja saya. Tidak sangka ramai yang menontonnya.

“Kakak saya juga beritahu bahawa ayah dan mak gembira dengan apa yang saya buat ini.

“Sebenarnya apa saya buat ini bukanlah besar. Ia lebih kepada perasaan kasihan dan tanggungjawab kepada insan yang lemah.

“Saya juga masih ada ibu bapa dan tidak mahu mereka hidup seperti ini.

“Lagipun bukan susah nak tolong orang yang berada dalam kesusahan. Pelbagai cara boleh buat.

“Saya dan kawan-kawan saya hanya membantu apa yang mampu dan kalau nak bagi wang ringgit, memang tak ada.

“Yang penting kena ikhlas,” tambahnya yang turut berpesan kepada remaja lain supaya tidak mengabaikan gelandangan seperti ini.

Video:

sumber:mstar

Mudahnya nak cari pahala…

CHERAS – Tindakan seorang anak muda, bantu memandikan seorang lelaki gelandangan di jalan belakang sebuah restoran makanan segera mendapat pujian dan perhatian dari netizen di Dataran Dwitasik Bandar Sri Permaisuri di sini.

Perkongsian di Twitter Syafiqamran95, memaparkan sebuah rakaman video berdurasi 30 saat telah mendapat 119,000 tontonan dan 12, 107 ciapan serta 7, 207 tanda suka.

Kata Syafiq, rakannya itu sering membantu golongan gelandangan dengan menyumbang pakaian, minuman, makanan dan wang untuk perbelanjaan mereka.

Namun kali ini, rakannya bertindak memandikan seorang lelaki lingkungan usia 50 tahun setelah melihat dirinya kotor.

“Hari ini, rakan mandikan pakcik ini, mereka memang selalu bantu golongan gelandangan, tidak kira siapa pun, sedih melihat pakcik ini tidur kadang tidur beralas, kadang atas lantai sahaja.

“Jadi, rakan tergerak hati untuk mandikan pakcik ini, berikan seluar, baju dan selipar,” katanya.

Dia turut menzahirkan ribuan terima kasih kepada netizen di atas doa yang dikirim kepada rakannya.

“Kami tidak mampu dari segi kewangan tetapi kami gembira dapat membantu pakcik itu dan senang melihat keadaannya lebih bersih dari sebelum ini.

“Selagi kita hidup, jangan abaikan orang tua, berbaktilah selagi mereka ada, InsyaALLAH, rezeki ada cuma masa sahaja menentukan. Jangan pernah menyesal dengan apa kita lakukan,” katanya.

Rata-rata netizen memberi sokongan moral dan sekiranya hendak berbuat baik tidak perlu modal yang besar cukup sekadar membantu sesama insan dengan cara tersendiri.

Malah kata netizen, sekumpulan remaja ini telah membuka mata rakyat Malaysia betapa mudahnya untuk mencari pahala berbanding dosa berpanjangan.