[VIDEO] “Saya down, kenapa tahap 4?” – Zaibo lalui fasa sukar hidap kanser

SUNGGUHPUN disahkan menghidap kanser esofagus tahap empat, pelakon Zaibo masih mampu tersenyum ceria melayan rakan-rakan yang menziarahinya.

Derita yang ditanggung langsung tidak dizahirkan diraut wajah Zaibo yang terkenal dengan watak Pak Selamat menerusi sitkom Spanar Jaya.

Bagaimanapun ketika wartawan mStar Online menziarahi Zaibo, 62, yang kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, dia mengakui sukar menerima berita sedih yang menimpa dirinya itu.

“Sejujurnya saya sangat terkejut. Saya bertanya pada diri, mengapa kanser?

“Aku tak sakit, kenapa tahap empat? Saya jadi down,” katanya pada Selasa.

Bagaimanapun menurut Zaibo atau Zainal Ariffin Abd Hamid, dia perlu bangkit daripada kesulitan yang dihadapinya demi insan-insan tersayang yang ada disekelilingnya.

“Saya kasihan melihat isteri dan anak-anak saya bersedih kerana saya.

“Mereka akan gembira jika saya ceria. Jadi saya katakan pada diri supaya terus bersemangat melawan penyakit ini,” katanya.

Cerita Zaibo, dia diberitahu menghidap kanser apabila melakukan pemeriksaan kesihatan susulan berhadapan masalah tersedak dan muntah selepas makan.