[BREAKING NEWS] Bantuan Sara Hidup Bawah RM2,000

Buat kali pertama Lim Guan Eng akan membentangkan belanjawan negara di Dewan Rakyat hari ini.

Pembentangan oleh menteri kewangan itu menjadi perhatian ramai kerana ia adalah belanjawan pertama disediakan Pakatan Harapan.

Ia diikuti dengan penuh minat ketika kerajaan menegaskan keadaan kewangan negara pada ketika ini memerlukan semua pihak bersedia untuk berkorban.

5.08pm: Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan duti eksais mulai 1 April 2019 pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum.

Air minuman yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain yang mengandungi gula melebihi 5 gram per 100 mililiter; dan jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter.

4.50pm: Bermula 1 Jan, 2019, pendapatan isi rumah di bawah RM2,000 akan mendapat RM1,000 dalam bentuk Bantuan Sara Hidup (BSH).

Isi rumah berpendapatan antara RM2,001 dan RM3,000 akan mendapat bantuan sebanyak RM700, manakala yang berpendapatan antara RM3,001 dan RM4,000 akan mendapat bantuan sebanyak RM500.

Kerajaan juga akan menambah RM120 dalam BSH untuk setiap kanak-kanak di bawah 18 tahun, terhad kepada empat kanak-kanak, tidak termasuk kanak-kanak kurang upaya yang tidak mempunyai had umur.

Lim memberi contoh, pendapatan isi rumah di bawah RM2,000, yang mempunyai empat anak, akan menerima RM1,480 dalam bentuk BSH, lebih daripada RM1,200 yang diberikan di bawah BR1M.

Kerajaan telah memperuntukkan RM5 bilion untuk BSH.

4.48 pm: Kerajaan akan memulakan program khas pengakuan sukarela untuk pihak yang mempunyai pendapatan terdahulu yang tidak diisytiharkan.

Bagi pengisytiharan yang dibuat dari esok hingga 31 Mac, Lim berkata pembayar cukai hanya perlu membayar denda sebanyak 10 peratus daripada jumlah pendapatan tidak diisytiharkan.

Perisytiharan yang dibuat dari 1 April hingga 30 Jun akan dikenakan penalti sebanyak 15 peratus, manakala yang dibuat selepas program berakhir pada 30 Jun akan dikenakan denda antara 80 peratus hingga 300 peratus sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang.

4.50pm: Kerajaan mengumumkan bahawa lesen kasino dinaikkan dari RM120 juta kepada RM150 juta. Duti kasino juga dinaikkan sehingga 35 peratus daripada pendapatan kasar.

Bagi lesen mesin judi, yuran lesen tahunan dinaikkan dari RM10,000 hingga RM50,000. Yuran duti dinaikkan dari 20 peratus hingga 30 peratus daripada pendapatan kasar.

Di samping itu, jumlah cabutan khas (special draw) dikurangkan sebanyak 50 peratus.

4.46pm: Kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen. RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka dapat memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.

4.45pm: Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) akan dinaikkan kepada penduduk tempatan daripada 0 peratus hingga 5 peratus. Bagaimanapun, pengecualian akan dibuat untuk rumah kos rendah di bawah RM200,000.

Lim berkata RPGT untuk syarikat dan warga asing, yang bukan penduduk tetap, akan dinaikkan dari 5 peratus hingga 10 peratus.

Duti setem untuk hartanah melebihi RM1 juta akan dinaikkan dari 3 peratus kepada 4 peratus.

4.41pm: Bermula 1 Januari 2019 kerajaan akan mengenakan cukai perkhidmatan import untuk memastikan penyedia perkhidmatan tempatan seperti arkitek, pereka grafik, pemaju perisian dapat bersaing dengan lebih kompetitif.

Lim berkata perkhidmatan dalam talian yang diimport oleh pengguna juga perlu mendaftar dengan Jabatan Kastam. Ini termasuk perisian, muzik, video, atau sebarang pengiklanan digital.

4.40 pm– Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menyiasat semua kekayaan berlebihan melalui pemilikan barangan mewah seperti barang kemas, jam tangan, beg tangan, kereta dan hartanah mahal.

Ucapan Lim disampuk suara anggota parlimen pembangkang dari BN yang bertanya mengenai kes banglo miliknya.

4.35 pm: Mulai 1 Januari, 2019, kerajaan akan memberikan pengecualian SST kepada perkhidmatan khusus yang disediakan oleh perniagaan berdaftar kepada perniagaan berdaftar yang lain.

Menteri kewangan berkata kerajaan juga akan memperkenalkan sistem kredit potongan cukai untuk pengeluar kecil yang membeli bahan sumber dari pengimport dan bukan kilang berdaftar.

4.30pm: Menurut Lim kerajaan tidak akan membayar baki AS$ 4.32 bilion kepada IPIC dan Aabar sebaliknya menuntut AS$1.46 bilion yang telah dibayar atas alasan penipuan semasa perjanjian tersebut dimuktamadkan.

Kerajaan juga akan bekerjasama dengan kerajaan asing untuk mendapatkan wang tunai 1MDB yang telah dirampas.

Kerajaan juga berjaya merampas semula kapal layar yang dibeli guna wang 1MDB, kata Lim sambil disambut tepukan meja oleh anggota-anggota parlimen.

4.20pm: Untuk tiga tahun akan datang, kerajaan berusaha mengurangkan defisit fiskal kepada 3.4 peratus pada 2019, 3 peratus pada 2020, dan 2.8 peratus menjelang 2021.

4.18pm: Kerajaan akan membentangkan Akta Kebentanggungjawaban Fiskal menjelang tahun 2021 bagi menghalang perbelanjaan tidak terkawal yang menciptakan hutang besar.

Kerajaan juga akan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan pada tahun hadapan bagi memastikan ketelusan dan persaingan terbuka dalam perolehan kerajaan, serta memperkenalkan hukuman terhadap salah guna kuasa, kecuaian dan rasuah.

4.16pm: Kerajaan mendapati pentadbiran terdahulu telah secara rahsia membayar hutang 1MDB hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018

4.15pm: Lim menyebut mengenai nilai Ringgit yang meningkat berbanding negara-negara di Asia Tenggara. Menurutnya prestasi mata wang ringgit dan pasaran ekuiti menunjukkan pelabur asing kini yakin kepada kerajaan baru Pakatan Harapan.

4.05pm: Belanjawan 2019 bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’.

Lim memulakan ucapan dengan menyatakan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menyelamatkan negara daripada kerajaan kleptokrasi kepada kerajaan yang demokratik’.

Beliau turut menyebut mengenai hutang kerajaan yang kini mencecah angka RM1 trilion akibat ‘kleptokrasi global’. Kedengaran suara anggota parlimen pembangkang mengganggu ucapan Lim.