Terima Kasih Kerana Tak Tumbuk Saya. Harvinth Skin Terkejut Video Viral Seluruh Dunia

” Ingatkan pengawal keselamatan akan keluarkan pistol dan tembak saya, tapi rasa berbaloi sebab ambil risiko untuk hasilkan video itu.”

Begitu kata-kata seorang personaliti media sosial negara selepas videonya ‘melarikan diri’ dari sebuah premis pakaian dan peralatan sukan menjadi tular di seluruh dunia.

Dalam tempoh 16 jam selepas video tersebut dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya, ia ditonton lebih 10 juta kali dan mendapat lebih 337,000 perkongsian.

Melalui rakaman berdurasi 45 saat itu, Harvinth Kesu dilihat menggayakan sepasang kasut sukan dan kemudian berlari pecut keluar dari premis tersebut sebelum berpatah balik dengan riak wajah bersahaja.

Kejadian tersebut berlaku terlalu pantas dan kelihatan seorang jurujual yang melayan pemuda berusia 25 tahun itu turut berlari mengejarnya kerana menyangka Harvinth mahu mencuri kasut tersebut.

Jurujual tersebut mengurut dada kerana cemas selepas melihat Harvinth berlari menggunakan kasut itu untuk memanaskan badan sahaja.

” Saya sebenarnya tengah memanaskan badan dan mencuba kasut itu. Saya nak tahu bagaimana rasanya memakai kasut tersebut ketika berlari,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Harvinth yang juga hos televisyen itu berkata, video tersebut diinspirasikan daripada rakaman seorang lelaki dari luar negara yang turut melakukan aksi sama.

Pemuda yang bernaung di bawah label Rocketfuel Entertainment itu beranggapan Malaysia perlu melihat seseorang dari negara ini menghasilkan versi sendiri setelah menonton video tersebut.

“Saya gembira melihat sesuatu yang saya lakukan membuat orang lain ketawa, menikmatinya dan itulah antara sebab saya menghasilkan video. Saya ingat video itu ‘okay’ sahaja di Malaysia, tapi tak sangka ia tular di seluruh dunia.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada kakitangan kedai sukan itu kerana tidak ‘menumbuk’ saya.

“Bagi saya, ramai orang mengambil semua perkara terlalu serius sejak akhir-akhir ini. Penting untuk mereka undur setapak ke belakang dan sedar yang kehidupan di dunia ini adalah untuk menikmati kegembiraan,” ujarnya.

Harvinth ketika merakam swafoto bersama legenda bola sepak, Ronaldinho.

Harvinth yang juga dikenali sebagai Harvinth Skin itu memiliki hampir 60 pasang kasut sukan dalam koleksi peribadinya.

Jelas Harvinth, dia tidak merakamkan aksi itu sekadar untuk suka-suka, tetapi membeli kasut tersebut kemudian selepas tindakannya telah membuatkan kakitangan terbabit berasa cemas.

Tambah pemuda itu, dia berhasrat untuk menghasilkan filem yang memberikan kesan kepada masyarakat pada masa akan datang berbanding hanya menghasilkan video selama satu minit.

“Saya nak menghasilkan video yang boleh menyentuh perasaan orang,” ujarnya.

Jom lihat video di bawah