Ini Tip Tanam Pokok Kesum Bagi Hidup, Senang Sebab Airnya Cuma Tengok Sebulan Sekali

Nak tanam pokok kesum pun sebenarnya boleh jadi satu dilema yang besar untuk mak-mak ‘kaki kebun’. Lagi-lagi di kalangan mak-mak yang tinggal dekat kawasan perumahan, flat atau ruangan sempit tapi masih berimpian nak menanam.

Dalam banyak-banyak pokok edible (pokok yang boleh dimakan) ini, kesum antara pokok yang paling mencabar tangan hijau mak-mak. Bukan mudah sebenarnya nak tanam pokok kesum. Walaupun orang kata cucuk, siram ikut aturan dan tinggal. Tetap juga kering layu sebelum naik pucuk mudanya.

Ada macam-macam lah petua menanam kesum. Termasuklah tanam dekat pasu yang tak berlubang, tanam dalam pasu berair dan macam-macamlah. Adoii.. tak juga menjadinya. Sampai stresslah mak-mak. Lagi stress, bila kesum tu dah naik elok, suami pula ajak balik ke kampung.

Ya ampun.. susahnya rasa hati nak tinggalkan pokok kesum tu. Dahlah membelanya macam ‘menatang minyak yang penuh’. Nak kena tinggal pulak. Apa nak buat kalau dalam dilema macam ini.

Dalam grup Kebun Kampung – Tanam, Teknik, Sendiri (KGTTS), Puan Mahani Amat ada berkongsi tip tanam pokok kesum dari D’Botani UCTC UPM. Katanya tip itu, “khas untuk mereka yang nak tanam kesum tapi tak tahu.”

8 Langkah Tanam Pokok Kesum Sampai Jadi

1)  Sediakan botol minyak saiz 5 atau 3 KG tu.

2)  Potong 2 atau separuh.

3)  Basuh botol tadi hingga bersih dan hilang minyak.

4)  Yang bahagian bawah letak air.

5)  Manakala, bahagian atas letak sikit tanah kompos (paling baik). Buang penutup botol minyak dan cucuk daun kesum tu biarkan sampai keluar akar.

6)  Kalau dah keluar akar, halakan akar dia semua masuk dalam kepala minyak tu supaya boleh dapat air dari bawah. Sebab kesum kan nak sentiasa lembap.

7)  Boleh tengok macam gambar di atas dan tak perlu risau kalau balik kampung. Yang penting sebulan sekali tengok air tu ada lagi ke tak.

8)  Saya tambah sikit baja daun yang jenis biji je kat dalam air tu sebagai nutrien.

Selamat mencuba!