Dilabel penunggang agama cuba burukkan Islam, ada gerakan seru boikot filem Polis Evo 2?

Filem Polis Evo mencetuskan gelombang fenomena tersendiri dalam industri perfileman tanah air dan pasti sekuelnya dinanti-nantikan oleh sebahagian peminat dan penggemar filem.

PE2 telah menjalani penggambaran pada tahun lalu selama 85 hari di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah.

Menerusi entri di laman sosial Instagram Astro Shaw, sebuah teaser poster telah dikongsikan dan perkara itu membuatkan ramai yang mengakui tidak sabar untuk menonton filem ini di pawagam.

Gandingan mantap ‘bromance’ antara Shaheizy Sam dan Zizan Razak sekali lagi menjadi taruhan selaku tunggak utama PE2 dengan menampilkan seorang pelakon dari seberang Raline Shah.

Apa yang lebih membanggakan, PE2 juga membariskan para pelakon yang berwibawa hasil gabungan tiga buah negara di mana dari Malaysia menampilkan Erra Fazira, Soffi Jikan, Shafiq Naswip, Riz Amin, Hairul Azreen, Dennis Yin, Hairie Othman, dan juga Rusdi Ramli.

Pelakon Singapura menampilkan Hasnul Rahmat, Jeff Catz dan Fir Rahman manakala pelakon Indonesia lain yang membintangi filem ini ialah Mike Lucock dan Tanta Ginting.

Walaupun belum lagi ditayangkan di pawagam, peminat filem tempatan mengakui teruja menantikan filem Polis Evo 2 di pawagam.

Hati Muslim yang Terluka

Admin terima poster filem Polis Evo 2 ini. Admin tak tengok TV, wayang apatah lagi. Jadi admin semak dakwaan dengan menonton trailer dan membaca latar belakang produksi.

Terkilan.

Sememangnya watak jahat filem berbajet jutaan ringgit ini adalah watak pengganas berimej Islam berserban. Istilah – istilah Islam digunakan untuk justifikasi keganasan watak tersebut seperti kiamat, dosa, Imam, neraka, takdir …

Selama ni kita tahu bahawa agenda memburukkan imej Islam dilakukan oleh Hollywood, Amerika. Watak – watak Muslim berjanggut, beserban, dipamer sebagai militan bersenjata, meletup diri, pengganas. Setelah membunuh jutaan orang Islam di Timur Tengah, mereka pamerkan pula diri mereka sebagai hero yang perlu diberi simpati.

Kajian yang dilakukan di UK pula mendapati, daripada ratusan laporan akhbar mengenai Muslim, 34% adalah mengenai keganasan, 26% melabel Muslim sebagai mundur, 9% sebagai ancaman.

Ya, kita cukup sedih apabila Islam difitnah dan diburukkan. Namun, sebenarnya tidak hairan. Kerana mereka sememangnya memusuhi Islam. Itulah agenda mereka.

Tapi adakah kini baton Islamofobia dihulur pula ke negara Malaysia kita yang tercinta? Negara yang meletakkan Islam agama persekutuan? Filem kita sendiri mencerca wajah Islam waima majoriti penduduknya Muslim?

Ya, sememangnya keganasan adalah satu ancaman kepada tanah air. Namun bagaimana tahapan ‘keganasan Islam’ di negara ini sehingga menjadi tema utama francais filem besar negara berdana jutaan ringgit?

Casualty ‘keganasan Islam’ di negara Malaysia beberapa tahun kebelakangan adalah sebanyak … 8 kecederaan, pada Puchong attack 28 June 2016 (kecederaan, bukan kematian) . Sebagai perbandingan, kes pembunuhan akibat hutang dan mabuk non Muslim pada tahun 2014 sahaja adalah sebanyak 18 kes kematian.

Di kawasan serantau pula, 6700 Muslim Rohingya dibunuh oleh pengganas Buddha Myanmar dalam tempoh SEBULAN. Pengganas LTTE, bapa pengasas kepada teknik pengeboman berani mati, telah membunuh puluhan ribu orang. Kini dilaporkan akar LTTE telah menyelinap ke tampuk pemerintahan.

Adakah semua pengganas ancaman keselamatan serantau ini akan difilemkan? Dah pasti tidak. Lebih mudah ambil pelakon berserban.

Dahulu ada dikatakan bahawa trend media Malaysia sekarang ini ke arah memburukkan imej islam, ulama dan ustaz. Mulanya agak skeptikal. Tapi nampaknya sekarang mula terbit kebenaran tersebut apabila kini naratif mencemarkan Islam mencapai layar perak, oleh francais filem besar negara berdana jutaan ringgit.

Mungkin ada yang kata, tak perlu kecoh la, filem je pun.

Sebenarnya, walau sekeras mana, sehitam mana pun hati ini dengan dosa, tetap Allah pelihara secebis daripadanya yang mudah terjentik. Bahagian ini sensitif, mudah dilukakan. Apabila dihina dan dicerca agama ini, tergetarlah ia.

Jangan dicabar sensitiviti hati umat Islam.

-Fakir Ilmu-

Oh ya, pengarah dan penulis skrip filem ni bukan Islam. Admin tak nak komen la pasal ni, nanti kena cop rasis dan tak #rahmatanlilalamin pula.

Sinopsis

PE2 menampilkan Inspektor Sani dan Inspektor Khai kembali berdepan dengan cabaran lebih besar apabila melibatkan sekumpulan pengganas yang juga mengamalkan ajaran sesat menawan sebuah kampung dan menjadikan penduduk sebagai tebusan.

Pasukan Tindakan Khas yang merupakan gabungan anggota polis terbaik dari Malaysia dan Indonesia dihantar bagi menyelesaikan insiden ini. Namun, misi mereka gagal apabila diserang hendap dan menyebabkan hampir kesemua mereka terbunuh.

Kerajaan Malaysia dan Indonesia menemui jalan buntu dan terpaksa meneruskan rundingan bagi mengurangkan angka korban di kalangan tebusan.

Harapan kini terletak pada bahu dua anggota polis, Inspektor Sani dan Inspektor Khai serta beberapa lagi ahli 513 untuk menyelamatkan tebusan, seterusnya menumpaskan kumpulan pengganas tersebut.

Rujukan
1) https://www.researchgate.net/publication/320673223_MUSLIM_IN_MOVIES_THE_HOLLYWOOD_CONSTRUCTION

2) https://www.channel4.com/news/media/pdfs/Cardiff%20Final%20Report.pdf

3) https://www.rsis.edu.sg/wp-content/uploads/2017/01/CTTA-January-2017.pdf

4) https://www.theguardian.com/world/2017/dec/14/6700-rohingya-muslims-killed-in-attacks-in-myanmar-says-medecins-sans-frontieres

5) http://www.ptsrilanka.org/wp-content/uploads/2017/04/massacres_pogroms_en.pdf